BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

SELAMAT DATANG

Monday, March 14, 2011

Dialek-Dialek di Negeri Perak Darul Ridzuan


Negeri Perak merupakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia. Negeri Perak bersempadanan dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Pahang dan Kelantan. Bermula di sempadan Pulau Pinang – Perak - Kedah iaitu Parit Buntar sehingga ke Taiping, kebanyakan penduduknya bertutur menggunakan loghat utara. Antara perkataan dalam loghat utara yang dikenal pasti ialah hang ( kamu ), pi ( pergi ), hangpa ( kamu semua ), sat ni ( sekejap lagi ), la ni ( sekarang ) dan sebagainya.  Di bahagian sempadan Perak – Kelantan iaitu di Pengkalan Hulu, majoriti penduduknya menggunakan dialek Kelantan sebagai bahasa pertuturan harian.
            Sementara itu, di kawasan Perak Tengah iaitu sekitar kawasan Bota, dialek pertuturan harian mereka menjadi simbol kepada loghat Perak. Bagi sesiapa yang ingin mendengar sdan  mempelajari loghat Perak, di sinilah kawasan yang patut anda pergi. Berikut saya nyatakan beberapa perkataan dalam loghat Perak. Moh kite belajo loghat perak yob!!!

awok, teman = saya
megholoh = tidur
tumpor = mati
bojot = basah
gebor = selimut
ngobak = menangis
nyongket = suka merayau
guling-pering = berhempas pulas
kelemayor = air mata berlinang
yor-ngat = air panas(kopi,milo)
goyor = binaan tak kukuh@badan terhuyung=hayang

Durian di Hujung Julai


Semasa sesi kuliah Dr. Abdul Halim Ali, rentetan perkataan berbunyi durian di hujung julai telah terpacul keluar melalui mulut beliau. Sebenarnya, Durian di Hujung Julai merupakan judul sebuah novel karya Sasterawan Negara iaitu, Shahnon Ahmad. Ketika beliau menyebut tajuk novel tersebut, hampir semua pelajar beranggapan bahawa novel ini berkisar tentang sesuatu peristiwa berkaitan buah durian yang berlaku pada penghujung  bulan tujuh. Sebaliknya, maksud durian di hujung julai ini ialah buah durian yang berada pada hujung dahan yang kelazimannya paling akhir sekali gugur. Rupa-rupanya sesetengah kawasan di Kedah, Kelantan dan Terengganu memanggil dahan pokok sebagai julai maka tidak hairanlah apabila Shahnon Ahmad menggunakan perkataan ini sebagai tajuk novelnya. Sememangnya, Shahnon Ahmad sangat kreatif dalam memilih perkataan-perkataan unik bagi dinukilkan ke dalam novelnya seperti perkataan Shit, Petriah dan banyak lagi.

Perbezaan Antara Bahasa Formal dan Bahasa Tidak Formal


Bahasa formal dan bahasa tidak formal dapat dibezakan dengan membandingkan ragam bahasa bebas dan bahasa terkawal.

Ragam Bahasa Bebas dan Bahasa Terkawal


Bahasa Bebas

Bahasa Terkawal



·         Ayat yang tidak gramatis.

·         Tidak mementingkan aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat, dan tatabahasa.

·         Contoh ayat:  You ni memang degillah. I dah bagitahu you kan jangan keluar dengan jantan tak guna tu lagi. Tapi you tak nak dengar cakap  I. I fed up la dengan you.


·         Ayat yang gramatis

·         Mementingkan aspek-aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa.

·         Contoh ayat: Awak sangat degil. Saya telah beritahu awak supaya jangan keluar dengan lelaki itu. Tetapi awak tidak mahu dengar cakap saya. Saya sudah bosan dengan awak.

Komen: Berdasarkan penerangan di atas, bahasa formal perlu digunakan bagi merujuk kepada urusan-urusan rasmi seperti perhimpunan, hari anugerah dan sebagainya manakala bahasa tidak formal digunakan dalam pertuturan harian manusia. Selain itu, penggunaan bahasa tidak formal jelas dapat dilihat di dalam novel dan cerpen. 

Pensyarah Bahasa Melayu Menggunakan Bahasa Rojak


“ Kamu semua boleh download nota-nota berkaitan tajuk ini. Saya dah upload dalam portal”

Berikut merupakan antara kata-kata yang diucapkan oleh seorang pensyarah bahasa Melayu di universiti ini. Kemungkinan pensyarah terbabit terlepas cakap semasa menggunakan istilah asing seperti download dan upload. Namun, pada pandangan saya perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya beliau peka terhadap bahasa yang dipertuturkan. Bagi sesetengah pelajar mungkin perkara ini dianggap biasa, tetapi bagi saya pensyarah tersebut memberikan contoh yang tidak baik kepada para pelajar yang terdiri daripada bakal pendidik yang mengambil jurusan bahasa Melayu.

Komen: Saya tidak menyalahkan pensyarah tersebut berhubung perkara di atas. Mungkin beliau terlepas cakap atau terbiasa dengan perkataan-perkataan itu. Walaupun begitu, sebagai seorang yang bergelar pakar dalam bidang bahasa, saya berharap agar pensyarah tersebut lebih sensitif terhadap bahasa yang digunakan di dalam kelas. Berpesan-pesan atas kebenaran itu adalah sesuatu yang dituntut oleh agama kita.